Free Blogger Templates

Tuesday, May 12, 2015

Aktiviti 5 : "Kotak Beracun"


Aktiviti ‘Kotak Beracun’ merupakan satu aktiviti yang dijalankan untuk mengasah bakat murid untuk berpantun. Untuk aktiviti ini, ahli kumpulan telah bekerjasama untuk mengumpulkan seberapa banyak rangkap pantun untuk digunakan dalam aktiviti ini. Kemudian, pantun-pantun itu tadi dimasukkan dalam kertas kecil yang digulung dan disimpan dalam satu kotak kecil iaitu kotak tisu.
Semasa aktiviti ini berlangsung, para murid dan beberapa orang fasilitator terlibat akan duduk dalam bulatan. Aktiviti ini bermula seiring dengan alunan lagu. Murid yang dipilih untuk membacakan pantun adalah berdasarkan di mana lagu itu berhenti dan murid yang terakhir memegang kotak tisu tersebut akan membacakan pantun. Para murid akan mencabut salah satu kertas kecil itu tadi dan seterusnya membacakan pantun yang terdapat dalam kertas tersebut. Dalam kertas tersebut, terdapat dua rangkap pantun yang disediakan. Murid yang mencabut kertas pantun dikehendaki untuk membacakan pantun dengan suara yang lantang beserta dengan gaya yang bersesuaian. Di samping itu, beberapa orang fasilitator yang terlibat juga memberikan kerjasama dan turut membacakan pantun dalam aktiviti tersebut sebagai tanda sokongan, motivasi dan contoh kepada murid-murid yang terlibat.
Aktiviti ini dijalankan untuk mengasah dan mencungkil bakat para murid yang berbakat dalam berpantun. Para murid akan didedahkan dengan aspek-aspek berpantun. Mereka diajar bagaimana untuk bersuara lantang dan seterusnya menggayakan pantun mereka secara spontan. Cara ini dapat membantu mereka dalam membina keyakinan diri dan juga mengajar mereka bagaimana untuk mengujarkan sesuatu agar kedengaran jelas dan menarik.




 

Gambar semasa aktiviti dijalankan.

            Melalui aktiviti ini, para murid kelihatan berminat dan teruja untuk membacakan pantun mereka. Namun, terdapat juga beberapa orang murid yang masih lagi malu untuk bertutur di hadapan kawan-kawan mereka. Walau bagaimanapun, murid-murid tersebut tetap diberi sokongan oleh fasilitator dan kawan-kawan mereka sendiri. Keadaan ini menampakkan bahawa sikap kerjasama dan kasih sayang dapat dipupuk dan disemai dalam diri mereka.
            Secara tuntasnya, saya merasa bahawa aktiviti yang dijalankan ini amat memberikan manfaat kepada semua murid yang berada di dalam kelas pada masa itu kerana semua daripada mereka diberikan peluang untuk membacakan pantun setiap seorang. Tidak seorang pun daripada kalangan mereka yang ketinggalan untuk mempelajari cara untuk membaca pantun dan seterusnya mampu menambahkan pengetahuan dan pengalaman yang baharu pada diri mereka. Selain itu, saya juga dapat mengenal pasti beberapa orang murid yang berbakat dalam berpantun. Mereka ini berada dalam golongan yang lebih menyerlah, lebih pandai membaca pantun dan memperlihatkan minat mereka dalam aktiviti berpantun ini.

            Oleh itu, saya berharap pada masa akan datang, kem seperti ini masih lagi akan dianjurkan kepada pelajar-pelajar yang bakal mengikuti kursus Keterampilan Membaca ini kerana ia memberi peluang khas kepada mereka untuk mendekati murid-murid dengan lebih senang. Selain itu, pelajar juga akan memperoleh pengalaman yang lebih berguna dan bermanfaat selain daripada apa yang dipelajari di dalam kuliah sahaja.

No comments:

Post a Comment