Free Blogger Templates

Tuesday, May 12, 2015

Aktiviti 3 : Pantun Kreatif


Persediaan aktiviti

        Bagi aktiviti pantun kreatif kami telah membahagikan pelajar kepada tiga kumpulan kecil dan satu kumpulan mempunyai enam hingga tujuh orang pelajar. Kami telah  memilih dua rangkap pantun budi dan diedarkan kepada kumpulan pelajar tersebut. Peralatan yang digunakan seperti kad manila, gam, gunting, marker, pensil warna, kertas warna. Pelajar dikehendaki menulis semula dua rangkap pantun yang telah diedarkan  ke atas kad manila. Setelah itu, mereka perlu menghias kad manila tersebut dengan kreativiti yang ada pada mereka serta dengan bantuan fasilitator kumpulan mereka.
        Di akhir aktiviti tersebut kami dapati bahawa pelajar-pelajar ini sungguh kreatif dan telah menyelesaikan tugasan aktiviti tersebut dengan baik. Rasional daripada aktiviti yang dipilih ini ialah kami mahu mereka boleh menunjukkan kreativiti yang ada dalam diri mereka bukan sahaja pandai membaca pantun tetapi pandai melukis dan menghias kad manila tersebut. Selain itu, kami juga mahu memupuk sikap kerjasama antara kumpulan dalam melakukan tugasan yang diberikan serta meningkatkan kemahiran menulis mereka di samping kemahiran membaca yang diterapkan kepada mereka.
       Aktiviti pantun kreatif  ini juga berkait rapat dengan  kemahiran yang terdapat di dalam modul keterampilan iaitu pendekatan holistik dalam pengajaran bacaan. Dalam aktiviti pantun kreatif ini juga kami telah menggunakan beberapa kaedah dalam  pendekatan holistik. Kaedah-kaedah dalam pembacaan penting terutama dalam membaca kerana untuk membaca pantun memerlukan kaedah dan intonasi yang betul.  


Pelaksanaan aktiviti









Refleksi daripada aktiviti yang dijalankan ialah kerjasama yang ditunjukkan di dalam tugasan kumpulan amat baik dan cemerlang. Mereka boleh bekerjasama dan saling membantu dalam menyiapkan tugasan tersebut terutama semasa sesi melukis untuk menghias kad manila tersebut. Pelajar-pelajar juga saling berkongsi idea untuk melukis dan menggunakan kreativiti yang ada dalam diri mereka untuk menghias dan menulis pantun pada kad manila tersebut. Aktiviti ini  bukan hanya untuk mengajar mereka membaca pantun semata-mata malah kami ingin menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan berakhlak mulia serta mengetahui  sikap bekerjasama dengan orang lain serta saling membantu dalam kehidupan seharian.   


Refleksi :

Secara keseluruhannya kem membaca di sekolah SK Bandar Behrang ini memberi pengalaman kepada kami sebagai bakal pendidik untuk lebih mengetahui dan mendalami perasan sebagai seorang guru serta bagaimana cara untuk mengawal pelajar-pelajar sekolah rendah ini semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dijalankan. Sebagai seorang guru yang cemerlang, aktiviti di dalam kelas itu penting dan perlulah menarik untuk pelajar lebih berminat dengan apa yang akan diajarkan kepada mereka. Melalui aktiviti yang kami jalankan, salah satunya ialah pantun kreatif kami serba sedikit telah melatih mereka untuk membaca pantun serta melakukan kerja berkumpulan supaya hubungan mereka akan lebih erat dan mudah untuk mereka belajar.


Harapan pada masa akan datang :


Berdasarkan pengalaman kami sepanjang kem ini berlangsung, kami dapat melihat dan merasai kepayahan seorang guru dalam mendidik pelajar-pelajar. Di samping itu, kami juga menimba banyak pengalaman baru dan tidak akan pengalaman tersebut hilang daripada ingatan kami. Diharapkan pada masa akan datang jika kem membaca seperti ini dijalankan persiapan sebelum kem ini dijalankan perlu disemak dan diteliti supaya tidak akan timbul sebarang gangguan atau kesalahan pada hari kejadian. Selain itu, seorang bakal guru juga perlu menyediakan aktiviti yang dapat menarik minat mereka serta aktiviti untuk mereka juga perlu selari dengan arus kemajuan yang mereka rasai pada ketika ini. Aktiviti itu juga bukan sahaja dapat melatih mereka membaca dan menulis malah menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup mereka.    

No comments:

Post a Comment