Aktiviti
‘Kotak Beracun’ merupakan satu aktiviti yang dijalankan untuk mengasah bakat
murid untuk berpantun. Untuk aktiviti ini, ahli kumpulan telah bekerjasama
untuk mengumpulkan seberapa banyak rangkap pantun untuk digunakan dalam
aktiviti ini. Kemudian, pantun-pantun itu tadi dimasukkan dalam kertas kecil
yang digulung dan disimpan dalam satu kotak kecil iaitu kotak tisu.
Semasa
aktiviti ini berlangsung, para murid dan beberapa orang fasilitator terlibat
akan duduk dalam bulatan. Aktiviti ini bermula seiring dengan alunan lagu.
Murid yang dipilih untuk membacakan pantun adalah berdasarkan di mana lagu itu
berhenti dan murid yang terakhir memegang kotak tisu tersebut akan membacakan
pantun. Para murid akan mencabut salah satu kertas kecil itu tadi dan seterusnya
membacakan pantun yang terdapat dalam kertas tersebut. Dalam kertas tersebut,
terdapat dua rangkap pantun yang disediakan. Murid yang mencabut kertas pantun
dikehendaki untuk membacakan pantun dengan suara yang lantang beserta dengan
gaya yang bersesuaian. Di samping itu, beberapa orang fasilitator yang terlibat
juga memberikan kerjasama dan turut membacakan pantun dalam aktiviti tersebut
sebagai tanda sokongan, motivasi dan contoh kepada murid-murid yang terlibat.
Aktiviti
ini dijalankan untuk mengasah dan mencungkil bakat para murid yang berbakat
dalam berpantun. Para murid akan didedahkan dengan aspek-aspek berpantun.
Mereka diajar bagaimana untuk bersuara lantang dan seterusnya menggayakan
pantun mereka secara spontan. Cara ini dapat membantu mereka dalam membina
keyakinan diri dan juga mengajar mereka bagaimana untuk mengujarkan sesuatu
agar kedengaran jelas dan menarik.
Gambar
semasa aktiviti dijalankan.
Melalui aktiviti ini, para murid
kelihatan berminat dan teruja untuk membacakan pantun mereka. Namun, terdapat
juga beberapa orang murid yang masih lagi malu untuk bertutur di hadapan
kawan-kawan mereka. Walau bagaimanapun, murid-murid tersebut tetap diberi
sokongan oleh fasilitator dan kawan-kawan mereka sendiri. Keadaan ini
menampakkan bahawa sikap kerjasama dan kasih sayang dapat dipupuk dan disemai
dalam diri mereka.
Secara tuntasnya, saya merasa bahawa
aktiviti yang dijalankan ini amat memberikan manfaat kepada semua murid yang
berada di dalam kelas pada masa itu kerana semua daripada mereka diberikan
peluang untuk membacakan pantun setiap seorang. Tidak seorang pun daripada
kalangan mereka yang ketinggalan untuk mempelajari cara untuk membaca pantun
dan seterusnya mampu menambahkan pengetahuan dan pengalaman yang baharu pada
diri mereka. Selain itu, saya juga dapat mengenal pasti beberapa orang murid
yang berbakat dalam berpantun. Mereka ini berada dalam golongan yang lebih
menyerlah, lebih pandai membaca pantun dan memperlihatkan minat mereka dalam
aktiviti berpantun ini.
Oleh itu, saya berharap pada masa
akan datang, kem seperti ini masih lagi akan dianjurkan kepada pelajar-pelajar
yang bakal mengikuti kursus Keterampilan Membaca ini kerana ia memberi peluang
khas kepada mereka untuk mendekati murid-murid dengan lebih senang. Selain itu,
pelajar juga akan memperoleh pengalaman yang lebih berguna dan bermanfaat
selain daripada apa yang dipelajari di dalam kuliah sahaja.